Intervensi keluarga NBD memperkukuh pemulihan, kesejahteraan sosial





Oleh : Dk. Hajah Naqayatul Akma Pg. Haji Ali / Foto : Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan





BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 15 Mei. - Hari Keluarga Antarabangsa yang disambut pada 15 Mei setiap tahun merupakan satu inisiatif global yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menekankan peranan penting institusi keluarga dalam pembangunan sosial, ekonomi dan budaya sesebuah negara.


Negara Brunei Darussalam (NBD) turut menyambut Hari Keluarga setiap Ahad pertama dalam bulan Mei setiap tahun sebagai manifestasi komitmen berterusan dalam memperkukuh institusi keluarga sebagai teras kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.


Ini juga selaras dengan komitmen NBD selaku anggota ASEAN, melalui Deklarasi Bandar Seri Begawan mengenai Kepentingan Keluarga Dalam Pembangunan Masyarakat dan Pembinaan Negara 2021.


Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad menyatakan demikian pada perutusan bersempena dengan Hari Keluarga Antarabangsa 2026.


Tema sambutan tahun ini, kongsi Yang Berhormat, 'Keluarga, Ketidaksamaan dan Kesejahteraan Kanak-Kanak' (Families, Inequalities and Child Wellbeing), mengetengahkan cabaran global yang semakin ketara, khususnya ketidaksamaan sosial dan cabaran ekonomi yang mempengaruhi kestabilan sesebuah keluarga seperti kebimbangan ekonomi, peningkatan kos sara hidup, serta jurang akses kepada pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan peluang kehidupan.


Cabaran-cabaran ini, jelas Yang Berhormat, setentunya menjejaskan keupayaan keluarga dalam menyediakan persekitaran yang positif, stabil dan kondusif untuk menyokong perkembangan kanak-kanak yang seimbang dari segi fizikal, emosi dan sosial. Oleh itu, pengukuhan institusi keluarga perlu dilihat sebagai satu pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan negara.


“Alhamdulillah, di NBD, melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif, pendekatan intervensi keluarga di negara ini semakin bersifat menyeluruh, strategik dan berfokus kepada pemulihan serta pengukuhan fungsi keluarga. Berdasarkan kes keluarga yang dirujuk ke Jabatan Pembangunan Masyarakat sejak tahun 2000 hingga 2025, kes yang dirujuk ke Unit Keluarga menunjukkan penurunan sebanyak 58 peratus pada tahun 2025 berbanding tahun sebelumnya, iaitu daripada 62 kes kepada 26 kes.


“Perkembangan ini mencerminkan keberkesanan pendekatan intervensi awal, kaunseling keluarga, mediasi serta sokongan kebajikan bersasar yang membantu keluarga menangani konflik secara lebih konstruktif. Walau bagaimanapun, sebahagian kes yang masih dirujuk melibatkan isu kompleks seperti pertikaian hak penjagaan anak, nafkah dan kewangan serta masalah tempat tinggal.


“Ini menunjukkan bahawa cabaran sosioekonomi adalah antara faktor yang mempengaruhi kestabilan keluarga, dan justeru memerlukan pendekatan yang lebih bersepadu merangkumi aspek sosial, ekonomi dan perundangan," ujar Yang Berhormat.


Dalam aspek kesejahteraan kanak-kanak, kes yang direkodkan turut menjadi petunjuk penting kepada keperluan untuk terus memperkukuh sistem perlindungan dan sokongan keluarga. Kes kanak-kanak telah menunjukkan penurunan kepada 172 kes pada tahun 2025 berbanding 188 kes pada tahun 2024, kongsi Yang Berhormat.


Walaupun perangkaan ini, tambah Yang Berhormat, masih menuntut perhatian serius, perkembangan tersebut mencerminkan keberkesanan pelbagai usaha yang telah dilaksanakan termasuk peningkatan kesedaran masyarakat, pengukuhan program keibubapaan positif, intervensi awal terhadap keluarga berisiko serta kerjasama antara agensi dalam memperkukuh mekanisme pemantauan dan perlindungan kanak-kanak.


“Dalam memastikan setiap kes ditangani dengan berkesan, pendekatan yang dilaksanakan adalah berpandukan prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak, melalui penilaian sosial yang menyeluruh, intervensi bersepadu serta penyelarasan sokongan antara agensi, bagi memastikan persekitaran keluarga kekal stabil, selamat dan kondusif untuk perkembangan kanak-kanak secara holistik," tekan Yang Berhormat lagi.


Menurut Yang Berhormat, Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) sejak tahun 2012 turut menjadi wadah utama dalam penyelarasan usaha senegara untuk memperkukuh nilai dan ikatan kekeluargaan. Pada tahun ini, sambutan diadakan pada 3 Mei 2026 dengan tema 'Keluargaku Harapanku' dan fokus 'Menerapkan Nilai-nilai Teras Kekeluargaan Brunei : Sayang-menyayangi; Tanggungjawab; Hormat-menghormati; Pemedulian (SaTu HaraPan)'.


Kongsi Yang Berhormat, pelbagai aktiviti dan inisiatif bersempena HKK 2026 telah pun dirancang sebagai usaha bersama mengukuhkan institusi keluarga dan memberikan peluang meluangkan masa berkualiti bersama ahli keluarga, dan orang ramai adalah digalakkan untuk menganjurkan ataupun ikut serta dalam aktiviti dan program kekeluargaan dan aktiviti / program berasaskan komuniti di peringkat keluarga masing-masing, agensi kerajaan, swasta, NGO, Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, sepanjang tahun.


“Pada tahun ini, kita akan melancarkan Pelan Tindakan Institusi Keluarga 2025 2029, susulan dari Pelan Tindakan sebelum ini. Melalui Pelan Tindakan ini, komitmen senegara dalam mengukuhkan institusi keluarga terus ditekankan dengan memberi tumpuan kepada kedayatahanan keluarga, pembangunan kapasiti keluarga, pengukuhan sokongan sosial dan ekonomi serta pemantauan berasaskan indikator keberhasilan seperti Indeks Kedayatahanan Keluarga (Family Resilience Index) yang akan dirangka berasaskan Indeks Kesejahteraan Keluarga ASEAN (ASEAN Family Wellbeing Index) yang sedang dibangunkan di peringkat serantau.


“Adalah diharapkan agar semua pihak sama ada dari agensi kerajaan, swasta, persatuan-persatuan, institusi-institusi, pemimpin akar umbi dan seluruh masyarakat akan terus berganding bahu dalam memastikan setiap keluarga di negara ini mendapat sokongan yang sewajarnya," terang Yang Berhormat.


Oleh itu, Yang Berhormat ingin menyeru untuk sama-sama berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, agar NBD terus maju dalam suasana yang aman, makmur dan rukun damai demi raja, negara, bangsa dan ugama serta sentiasa berada di bawah perlindungan dan rahmat-Nya.


Semoga setiap keluarga di negara ini terus dikurniakan kebahagiaan, kesejahteraan dan keharmonian ke arah merealisasikan sebuah negara 'Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur'.


Close